Lelaki lumpuh dapat ganti rugi RM900,000 kes saman polis

Home » , , » Lelaki lumpuh dapat ganti rugi RM900,000 kes saman polis
7:52 PM | Aizat Chik Suliman | No comments
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000.


Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memerintahkan Lans Koperal Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara membayar jumlah itu meliputi kos tambang ke hospital, kos ulang alik sebagai pesakit luar, kos beg kencing, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Dalam penghakimannya, Siti Khadijah berkata perbuatan Nadzri yang melepaskan tembakan terhadap Johari Kasman, 28, jelas menunjukkan salah guna kuasa dan terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.

Katanya, semasa kejadian Nadzri bertugas dengan memakai pakaian preman dan menahan plaintif kerana berkelakuan mencurigakan tetapi plaintif enggan berhenti hingga timbul pergelutan.

Siti Khadijah berkata walaupun kejadian tembakan itu berlaku, Nadzri tidak melepaskan tanggung jawabnya begitu sahaja malah bertindak membawa plaintif ke hospital.

"Defendan pertama menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan," katanya.

Bagaimanapun pada masa kejadian 23 Oktober 2004, defendan berkata plaintif memandu menggunakan motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu, tetapi defendan tidak mempunyai bukti bahawa plaintif terlibat pada hari itu", katanya.

Pada 18 Oktober 2007, Johari mengemukakan saman terhadap Nadzri dan Ketua Polis Negara kerana cuai hingga menyebabkannya lumpuh selepas ditembak di belakang, dan mendakwa Nadzri tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan gagal memberi amaran sebelum menembaknya.

Menerusi pembelaan, kedua-dua defendan berkata tindakan menembak itu bertujuan mempertahankan diri dan sebelum pergelutan berlaku plaintif bertindak menghayun topi keledar beberapa kali hingga terkena kepala Nadzri, selain cuba merampas pistol defendan.

Sepanjang prosiding Johari memanggil empat orang saksi manakala defendan seramai enam orang.

Peguam V Rajadevan mewakili Johari dan Peguam Kanan Persekutuan Mariam
Hasanah Othman mewakli defendan. - Bernama

sumber : hmetro

0 Orang Berkata:

Post a Comment

Apa Kata Anda?