Cucu bunuh nenek ke tali gantung

Home » , » Cucu bunuh nenek ke tali gantung
4:04 PM | Aizat Chik Suliman | No comments

2011/05/15

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun kerana membunuh neneknya, tiga tahun lalu. 

Hakim Datuk Mohamad Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati Ridzuan Taib bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Che Basah Ahmad, 75, di Taman Berlian, Jitra dekat sini, antara 9 pagi dan 3.15 petang, 11 Mei 2008.

Dalam penghakimannya, Mohamad Azman berkata peguam Sharif Mat yang mewakili tertuduh, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dan hujah pembelaan juga adalah penafian semata-mata.

"Pihak pembelaan hanya meletakkan kesalahan kepada bekas kekasih tertuduh. Pembelaan ini tidak dicadangkan di peringkat pendakwaan," katanya. 

Ridzuan yang berasal dari Kampung Pulau Pak Ubin, Padang Perahu, dilihat menangis ketika mahkamah membacakan penghakimannya. 

Berdasarkan keterangan di depan mahkamah, Che Basah yang tinggal seorang diri ditemui mati dengan kesan tikaman di perut oleh anaknya, Md Arif Abu Bakar pada petang 11 Mei 2008. 

Keterangan patologi menunjukkan Che Basah meninggal dunia akibat dijerut di leher, selain patah kedua-dua tulang rusuk serta ditikam di bahagian abdomen, manakala DNA darah campuran mangsa dan tertuduh turut ditemui pada seluar yang dipakai cucunya pada hari kejadian. 
Barang kemas Che Basah turut dijumpai berada dalam simpanan Ridzuan. 

Terdahulu, Sharif memohon hukuman terhadap Ridzuan diringankan kerana ketika kejadian, tertuduh berusia 18 tahun dan masih bersekolah. 

"Tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini jika diberi peluang, dan juga telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia semasa dalam penjara," katanya. 

Di mahkamah sama, seorang penoreh turut dihukum gantung sampai mati kerana mengedar 381 gram dadah jenis kanabis, empat tahun lalu. 

Mohamad Azman menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan Nasarudin Mohd Nopiah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Nasarudin, 44, dituduh melakukan kesalahan itu di depan sebuah kedai bunga di Taman Wira, Mergong pada 5.45 petang, 14 Januari 2007. - BERNAMA



-----------------------------------------------------




Create your own banner at mybannermaker.com!

0 Orang Berkata:

Post a Comment

Apa Kata Anda?