Bancian Ekonomi 2011 bermula Julai

Home » , » Bancian Ekonomi 2011 bermula Julai
3:30 PM | Aizat Chik Suliman | No comments

2011/05/22

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia akan menjalankan Banci Ekonomi (BE2011) buat kali ketiga, mulai Julai. 

Ketua Perangkawan, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof, berkata ia akan membabitkan seramai 943,000 firma serta perniagaan tempatan dan asing.
Banci itu dikendalikan setiap lima tahun, yang pertama pada 2001.

Beliau berkata, organisasi berkenaan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan badan pendaftaran lain seperti badan profesional, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan persatuan perniagaan. 

Wan Ramlah berkata, bancian itu juga merangkumi organisasi dalam sektor utama ekonomi negara iaitu pertanian, perlombongan dan kuari, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. 

Ketua perangkawan itu berkata, BE2011 buat pertama kalinya akan juga dijalankan serentak dengan Banci Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

"Ini adalah kerana 95 peratus organisasi yang ada terdiri daripada PKS dan ini boleh menjimatkan kos," katanya sambil menambah Banci PKS terakhir dikendalikan pada 2005 bagi tahun rujukan 2003. 
Jabatan itu memperuntukkan sejumlah RM40 juta untuk melaksanakan BE2011 iaitu bagi tahun rujukan 2010. 

Wan Ramlah berkata, perancangan bermula tahun lalu apabila jabatan itu menyediakan rangka atau senarai organisasi yang akan dibabitkan serta borang soal selidik. 

Beliau berkata, operasi tugasan lapangan yang membabitkan 2,000 pegawai akan bermula pada Julai dan berakhir pada November manakala pemprosesan data adalah dari Ogos hingga Disember. 

"Laporan seharusnya dapat dikeluarkan menjelang Jun 2012," katanya. 

Wan Ramlah berkata, bancian itu akan digunakan untuk mendapatkan maklumat lengkap struktur dan profil kegiatan ekonomi di negara ini yang akan digunakan dalam perumusan rancangan pembangunan negara dan dasar ekonomi. 

"Data itu juga digunakan sebagai penanda aras bagi kompilasi Akaun Negara serta mengadakan rangka kemas kini bagi daftar pertubuhan pusat dalam Jabatan Perangkaan," katanya. 

Beliau berkata, data mengenai PKS pula akan menjadi pangkalan data kemas kini untuk memantau dan menilai sumbangan PKS kepada ekonomi keseluruhannya. 

Pada masa ini PKS menyumbang kira-kira 30 peratus kepada keluaran dalam negara kasar. 

Wan Ramlah berkata, satu daripada data penting dalam bancian itu ialah "akses kepada pembiayaan". 

"Kita boleh mengenal pasti sumber pembiayaan setiap organisasi, apakah faktor yang membuatkan pembiayaan gagal dan sektor mana yang memerlukan bantuan pembiayaan," katanya. 

Maklumat lain akan merangkumi kegiatan utama syarikat, data mengenai pendapatan, perbelanjaan, sumber manusia, perbelanjaan modal, pemasaran dan promosi, nilai import dan eksport. 

"Ia juga akan merangkumi inovasi, penggunaan maklumat, komunikasi dan teknologi serta pematuhan alam sekitar," katanya. 

Banci itu dikendalikan melalui pertanyaan mel, temu bual dan tugas lapangan. 

Borang soal selidik akan dihantar kepada semua organisasi itu menjelang akhir Mei, 2011 dan responden diminta mengembalikan borang soal selidik yang lengkap diisi dalam tempoh sebulan. 

Borang soal selidik yang mengandungi 52 soalan utama itu boleh juga dimuat turun daripada laman sesawang jabatan di alamat www.statistics.gov.my. 

Sebagai jaminan kepada organisasi itu mengenai kerahsiaan, Wan Ramlah berkata banci itu akan dikendalikan di bawah peruntukan Akta Perangkaan 1965 (Semakan 1989). 

"Ia jelas menetapkan bahawa kandungan borang soal selidik itu rahsia. Ia adalah bagi tujuan perancangan. Kita tidak memerhati kegiatan mereka," katanya. 

Wan Ramlah berkata, sejumlah 20 penerbitan mengikut subsektor ekonomi dan satu penerbitan tentang PKS akan dikeluarkan menjelang Jun 2012, 18 bulan selepas tahun rujukan. 

"Ini adalah selaras dengan cadangan dan amalan antarabangsa," katanya. 

Beliau berkata, berikutan pengedaran penerbitan itu, usaha mengemas kini pangkalan data PKS Negara akan bermula pada Julai 2012. 

Wan Ramlah berharap responden akan memberikan kerjasama dan sokongan mereka sepenuhnya. 

"Anda perlu mengisi borang soal selidik itu dengan maklumat tepat dalam tempoh yang ditetapkan untuk memastikan kualiti data dan ketepatan masa. 

"Data yang baik akan menghasilkan perancangan yang baik. Selain menjadi responden, anda juga merupakan penerima manfaat kerana anda juga adalah pengguna data yang kami kumpul bagi kegunaan perancangan pada masa akan datang," katanya. 

Responden boleh menghubungi jabatan ini di talian 03:8885 7000 atau melayari laman sesawang banciekonomi@stats.gov.my jika ada sebarang pertanyaan. - BERNAMA




 -----------------------------------------------------

0 Orang Berkata:

Post a Comment

Apa Kata Anda?