ADUN Lenggeng dipenjara tiga tahun kes rasuah

Home » , , » ADUN Lenggeng dipenjara tiga tahun kes rasuah
12:52 PM | Aizat Chik Suliman | No comments

2011/04/02

Mustafa Salim
Mustafa Salim
SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim, 53, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000, oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor pada 2008. 

Hakim Amran Jantan, bagaimanapun, membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Mustafa, 53, didakwa menerima suapan RM2,000 daripada M Manimaran sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan projek pasir di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat sini pada 5 petang, Ogos 2008.
ADUN Barisan Nasional itu didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000. 

Dalam penghakimannya, Amran berkata, Mahkamah tidak boleh memberi hukuman lebih ringan kerana kesalahan dilakukan tertuduh serius, lebih-lebih lagi kes itu membabitkan kepentingan awam. 

“Hukuman ini sesuai dan wajar bagi kesalahan dilakukannya, kerana jika hukuman lebih ringan dikenakan maka ia akan memberi gambaran salah kepada masyarakat seolah-olah mahkamah tidak serius. 

“Matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah seperti terkandung dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tidak akan tercapai jika hukuman ringan diberikan kepada tertuduh,” katanya. 
Mustafa yang memakai sut hitam dan kemeja putih diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Fiesal Mustapha manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Jasmi Buang dan Fieza Fazlin Fandi. 

Sementara itu, Mustafa yang dikerumuni jurugambar media sebaik keluar dari mahkamah, berkata beliau akan membuat rayuan. 

“Saya akan buat rayuan,” katanya ringkas sambil bergegas ke kereta Toyota Harrier miliknya.


 -----------------------------------------------------





Create your own banner at mybannermaker.com!

0 Orang Berkata:

Post a Comment

Apa Kata Anda?