Kempen Hari Tanpa Beg Plastik diperluaskan ke Pasar Tani

Home » , » Kempen Hari Tanpa Beg Plastik diperluaskan ke Pasar Tani
3:50 PM | Aizat Chik Suliman | No comments



2011/02/12

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperluaskan Kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" ke pasar tani seluruh negara mulai April ini, dengan Putrajaya dijadikan sebagai perintis.


Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata sebelum kempen itu dilaksana, kementerian terlebih dulu akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit, terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Kita juga akan mengadakan dialog dengan peniaga yang terlibat bagi memberi penerangan mengenai kempen itu serta mendapatkan maklum balas daripada mereka," katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru pasar mini 99 Speedmart di sini, hari ini.
Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bermula secara rasmi 1 Januari lalu, iaitu beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma kepada pengguna di semua pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan premis perniagaan terpilih di seluruh negara pada setiap Sabtu.


Ia diadakan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dalam usaha memelihara alam sekitar, dan mereka yang masih mahukan beg plastik akan dikenakan bayaran 20 sen setiap satu pada hari itu.


Rohani berkata, kempen itu sehingga kini mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak, malah maklumbalas mendapati pasar raya besar yang terbabit juga tidak mencatat sebarang pengurangan jualan pada hari Sabtu.


"Setiap rangkaian pasar raya besar menggunakan kira-kira 100 juta beg plastik setahun, jadi jika matlamat kita untuk menurunkan 10 peratus penggunaan beg plastik ini dapat dicapai, impaknya adalah besar," katanya.
Rohani berkata, kempen itu secara keseluruhannya bersifat sukarela dan tiada sebarang hukuman dikenakan kepada mereka yang enggan, bagaimanapun, kempen kesedaran akan dipergiatkan termasuk di sekolah bagi menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai perkara tersebut.


Beliau berkata, kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia bagi menggalakkan penggunaan plastik terbiodegradasikan (biodegradable) yang lebih mesra alam oleh pasar raya di seluruh negara.


Mengulas kekurangan beras ST15 di pasaran, Rohani berkata, satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Bekalan dan Harga yang dianggotai beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meneliti perkara itu. - BERNAMA

source : http://bit.ly/i54L7g


























RUANGAN IKLAN UNTUK DISEWA

0 Orang Berkata:

Post a Comment

Apa Kata Anda?